KEJADIAN buli yang berlaku di asrama sekolah nampaknya belum ada titik noktah walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan banyak pihak terutama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani masalah tersebut.
Kes remaja lelaki berusia 17 tahun yang maut disyaki dipukul 13 pelajar lain di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu baru-baru ini membuktikan masalah buli masih terus berlaku.
Lebih menyedihkan, kejadian yang berlaku akibat perselisihan faham berpunca daripada kehilangan wang RM85 itu berakhir dengan tragis apabila mangsa ‘dihukum’ langsung hingga mati.
Di mana silapnya dan siapakah yang harus dipersalahkan apabila kes-kes buli ini terus berlaku dari tahun ke tahun?
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying pada November lalu, data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM merekodkan peningkatan kes buli dari tahun 2021 hingga 2023.
Menurut laporan itu, jumlah kes buli yang direkodkan pada 2021 ialah 326 kes.
Jumlahnya rendah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pada 2022, meningkat mendadak kepada 3,887 kes.
Sementara sehingga Oktober lalu pula, sebanyak 5,319 kes buli membabitkan murid sekolah direkodkan berdasarkan data SSDM seperti didedahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Daripada jumlah tersebut, seramai 4,787 pelajar direkodkan terlibat salah laku itu.
Penulis mempunyai pengalaman enam tahun sebagai ‘budak hostel’.
Bermula di Sekolah Menengah Tengku Indra Petra, Gua Musang ketika Tingkatan Dua hingga Lima, dan kemudian menyambung dua tahun lagi di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai untuk Tingkatan Enam.
Oleh kerana kehidupan di asrama mengajar seseorang itu berdikari, penulis mengambil keputusan untuk menghantar anak merasai pengalaman sama walaupun pada awalnya bimbang dengan kes-kes buli yang berlaku.
Namun, penulis yakin kerana isu buli ini telah diberi perhatian serius oleh semua pihak baik KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Tahun lalu, KPM melancarkan dua garis panduan penting dalam pengurusan isu salah laku khususnya berkaitan buli dan gangguan seksual bagi mewujudkan ekosistem selamat di institusi pendidikan di negara ini.
Fadhlina dalam kenyataannya pada September lalu menjelaskan, garis panduan itu penting sebagai advokasi di semua peringkat bagi meningkatkan kesedaran, tanggungjawab dan sikap cakna terhadap isu tersebut selain merangka usaha menanganinya secara bersama.
Di samping garis panduan yang disediakan, sebenarnya ada beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi menoktahkan masalah tersebut dan mungkin ada di antaranya sudah dilaksanakan.
Seperti yang kita ketahui, biasanya kes-kes buli atau tindakan kekerasan yang berlaku di asrama sekolah ini sering dikaitkan dengan kecurian wang sebagai punca.
Justeru, pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai melalui e-wallet yang telah dilaksanakan banyak sekolah ketika ini wajar diperluaskan sebagai alternatif wang tunai.
Pelantikan pembantu warden sepenuh masa juga wajar dipertimbangkan bagi meringankan tugas warden terutama dalam memantau aktiviti harian pelajar di asrama.
Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup dalam kawasan dan bilik asrama antara langkah yang boleh dilakukan bagi membendung permasalahan tersebut.
Pengasingan pelajar mengikut tingkatan mungkin satu cara bagi mengelak budaya senioriti yang turut dikaitkan punca kes buli.
Pada masa sama, peranan ibu bapa amat dituntut dalam membimbing anak supaya tidak menjadi pembuli atau mangsa buli.
Pihak sekolah pula janganlah pula menyorok kes buli yang berlaku, sebaliknya laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut bagi mengekang budaya negatif itu daripada terus berulang.
* Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28