SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf diserikan dengan keunikan pengunjung yang hadir berpakaian sedondon bersama ahli keluarga masing-masing.
Kebanyakan tetamu memakai rona sama bertujuan untuk merakamkan kenangan indah itu bersama keluarga.
Bagi pekerja swasta, Nursyahirah Shahrom, 29, berkata, pemakaian tema sama bersama ibu dan dua adik menjadi kenangan istimewa kerana pertama kali berada di program berbuka berpuasa secara terbuka.
"Kami memang suka pakai pakaian sama warna. Pemilihan jubah serba hitam hari ini lebih selesa untuk bergerak dan cantik apabila menangkap gambar bersama-sama.
"Saya tak pernah makan beramai-ramai dan secara duduk bersila seperti ini. Kebetulan ibu kongsi program ini dan saya terus mendaftarkan kehadiran untuk merasai pengalamannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Nursyahirah, program tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama ahli keluarga dan menambah kenalan baru, selain menikmati hidangan serta suasana dibawakan sama seperti di Madinah.
Menurutnya, program berkenaan secara tidak langsung mengajar dirinya erti kesyukuran dan lebih bersederhana sepanjang Ramadan.
Sementara itu, Nur Aina Mardhiah Mohamad, 29, mengakui program seumpama itu dapat mengeratkan lagi hubungan rakan sepejabat lain.
"Kami satu pejabat hadir dan sambutan pengunjung sangat luar biasa dan tak sangka seramai ini.
"Saya harap mungkin pihak penganjur boleh memainkan alunan bacaan al-Quran atau zikir sementara nak menunggu waktu berbuka, jadi kita pun sama-sama mendapat pahala dan tidak berbual kosong,” katanya.
Dalam pada itu, Adlan Rahmat, 42, berkata, desakan anak-anaknya mahu menikmati pengalaman berbuka puasa mengikut konsep Masjid Nabawi di Madinah menyebabkan mereka sekeluarga hadir pada program iftar itu.
"Permintaan anak-anak menyebabkan saya mendaftarkan kehadiran melalui imbasan kod QR di platform media sosial Sinar Harian.
"Kebiasaannya saya berbuka puasa di rumah atau masjid dan program ini adalah pertama kali kami sertainya.
"Saya akan bawa mereka berbuka di luar kalau hari cuti. Seronok sebenarnya dapat berbuka di luar kerana boleh menghirup udara segar dan bertemu kenalan baharu,” jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28