SEREMBAN - Lebih 200 pencinta al-Quran terdiri daripada kumpulan mengaji Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS) dan Pertiwi Negeri Sembilan meneruskan tradisi khatam al-Quran di sini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Aishah Rohani, bangunan NSWO pada Khamis turut dihadiri Menteri Luar merangkap penasihat NSWO dan Pekerti, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad dalam ucapannya mahu program seperti itu diteruskan sekali gus terisi hidup dengan al-Quran.
"Al-Quran ini akan menerangkan kita nanti, teman kita, setiap ayat yang dibaca akan dapat pahala. Saya ini hanya memanjangkan pesan supaya sama-sama beramal dengan al-Quran.
Hadir pada majlis yang Kumpulan Karangkraf merupakan rakan strategik program yang telah dimulakan sejak 2015 itu adalah isteri beliau merangkap Yang Dipertua NSWO, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin yang merupakan penggerak utama program tersebut.
Dalam pada itu,Mohamad turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar dan anak yatim serta cenderahati al-Quran per juzuk terbitan Karya Bestari kepada semua peserta.
Sementara itu menurut Raja Salbiah, program berkenaan akan diteruskan pada tahun berikutnya malah ia tidak pernah gagal dilaksanakan termasuklah ketika pandemik Covid-19.
"Tidak dinafikan masing-masing (peserta) ada kekangan dengan rutin harian namun saya berbangga apabila mereka tetap beri komitmen untuk menjayakannya.
"Tambahan pula penghayatan kepada kandungan ayat-ayat suci al-Quran ini akan memberi kita inspirasi dan galakkan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada ALLAH," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28