TIADA siapa pun dapat menyatakan secara tepat akan masa kehadiran lailatulqadar.
Malam yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga 1,000 bulan itu sangat diidam-idamkan setiap umat Islam.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mendapatkan lailatulqadar? Apakah ada panduan daripada Nabi Muhammad SAW untuk meraih ganjaran yang disediakan ALLAH SWT itu?
Bagi mendapatkan jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul mengenai lailatulqadar, Sinar Islam menemu bual Ketua Eksekutif Masjid Abidin (Masjid Negeri) Kuala Terengganu, Ustaz Wan Mohd Hazim Bin Mohamed@Wan Mohd Hashim.
Ujar beliau, 10 akhir Ramadan merupakan satu tempoh masa yang disebut Nabi SAW sebagai jangkaan berlakunya malam yang sangat istimewa itu.
Menurutnya, antara keistimewaan lailatulqadar seperti yang disebutkan dalam keseluruhan surah al-Qadr adalah seperti berikut:
1 - Diturunkan kitab suci umat Islam iaitu al-Quran padanya.
2 - Fadilat beramal pada malam al-Qadar adalah melebihi 1,000 bulan.
3 - Turunnya malaikat-malaikat ALLAH ke muka bumi dengan membawa rahmat kepada sekalian hamba-NYA.
4 - Limpahan kesejahteraan ALLAH kepada sekalian hamba-NYA bermula dari masuk waktu Maghrib iaitu permulaan malam hinggalah masuknya waktu Subuh.
Gandakan amalan kebajikan, solat berjemaah
Ketika ditanya mengenai amalan yang sepatutnya dilakukan umat Islam pada malam 10 akhir Ramadan itu, Wan Mohd Hazim menjawab, kesemua amalan yang berbentuk kebajikan adalah sangat baik untuk dilaksanakan.
"Ini kerana semua amalan kebajikan sebenarnya dinilai oleh ALLAH SWT dengan ganjaran tertentu sekalipun ia sekecil memberikan senyuman kepada sesama kita.
"Oleh itu, apa jua perkara yang baik sama ada ia kecil atau besar, fardu atau sunat, mudah atau susah, maka lakukanlah sedaya upaya kita dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH sepanjang tempoh 10 akhir Ramadan ini,” katanya.
Ulasnya, seboleh-bolehnya pastikanlah solat Maghrib, Isyak dan Subuh dilakukan secara berjemaah sepanjang 10 akhir Ramadan.
"Ini kerana banyak pendapat ulama yang telah menyatakan lailatuqadar akan pasti didapatkan oleh mereka yang memberi perhatian kepada solat berkenaan secara berjemaah,” jelasnya.
Pohon doa keampunan
Bagi yang tidak mempunyai waktu luang yang banyak atau sibuk dengan urusan kerja, beliau mencadangkan agar sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar diampunkan dosa dan dilepaskan daripada azab api neraka.
"Doa keampunan adalah seperti yang disabdakan Rasulullah SAW kepada isteri Baginda, Sayidatina Aisyah RA iaitu:
"Oleh itu, bagi golongan yang sibuk bekerja atau petugas barisan hadapan, boleh sahaja melaksanakan ibadah memohon doa keampunan ini kerana ia bersifat fleksibel walau di mana sahaja berada dan bagaimana keadaan kita. Ini kerana ia tidak berhajat kepada wuduk, modal duit ataupun tikar sejadah,” ulasnya panjang.
Bagaimanapun katanya, umat Islam boleh juga memfokuskan doa keampunan ini pada waktu-waktu mustajab doa sepanjang malam 10 akhir Ramadan iaitu:
1 - Ketika setiap kali sujud dalam semua solat fardu dan sunat.
2 - Sepanjang hari ketika sedang berpuasa.
3 - Ketika berbuka puasa.
4 - Ketika selang masa antara azan dan iqamah.
5 - Ketika satu pertiga malam yang akhir.
6 - Ketika waktu sahur.
Menurut Wan Mohd Hazim lagi, beliau menasihatkan ahli jawatankuasa masjid dan surau dapat bersama-sama mengimarahkan 10 akhir Ramadan seperti:
2 - Galakkan kepada para jemaah untuk makin rancak bersedekah melalui pelbagai kaedah seperti imbasan kod QR, sedekah dalam talian atau perbanyakkan akses tabung di sekitar halaman masjid dan surau.
3 - Adakan ziarah berserta agihan sumbangan barangan keperluan dapur kepada ahli kariah masing-masing yang belum berjemaah di masjid atau surau supaya dapat dijinakkan hati mereka untuk sama-sama imarahkan program di masjid.