PENGENDALI Chelsea, Mauricio Pochettino mengharapkan peminat tidak terus mengejek dan menghina pemain sayap kelab itu, Raheem Sterling.
Sterling berdepan kritikan daripada segelintir penonton di Stamford Bridge semasa Chelsea menang 4-2 ke atas Leicester City dalam aksi suku akhir Piala FA baru-baru ini.
"Kami kini perlu meneruskan perjuangan. Apa yang kami tidak boleh lakukan ialah mencipta perkara yang lebih besar daripada apa yang sedang belaku ketika ini.
"Kami tahu peminat menyayangi pemain dan saya tahu mereka akan menyokongnya serta seluruh pasukan. Raheem seorang pemain yang bersemangat dan dia memahami keadaan ini," katanya.
Chelsea mempunyai kelebihan di tempat sendiri ketika menentang Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu dengan penyokong menjangkakan satu lagi kemenangan dapat diraih pasukan.
Sterling terlepas sepakan penalti pada separuh masa pertama menentang Leicester dan melakukan sepakan percuma melepasi palang pada separuh masa kedua yang mencetuskan ejekan dalam kalangan penyokong tuan rumah.
Sebelum perlawanan, penyokong Chelsea membangkitkan kebimbangan tentang masa depan kelab itu dalam surat panjang kepada pemilik bersama Todd Boehly dan Behdad Eghbali.
"Kami perlu berhati-hati dengan cara kami bercakap dan memberikan pendapat kami kerana perlu ada hubungan yang kukuh antara semua orang.
"Saya hanya mahu pemain kami bermain dengan sangat baik. Saya juga berdepan kemarahan penyokong dan kekecewaan mereka malah, seluruh pasukan menderita dalam situasi ini,” kata Pochettino.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!