'Dah sebulan tak beli ikan sebab mahal' - Ibu tunggal

Iklan
Dr Gary Ko (tengah) menyerahkan makanan laut percuma kepada penerima daripada PPR Stulang Laut di premisnya di GM Seafood, Taman Mount Austin, Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal, Kamsiah Mostari, 64, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini mendakwa keluarganya hanya sesekali menikmati makanan sedap berikutan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Menurutnya, malah sejak sebulan lalu, dia sekeluarga tidak berkemampuan untuk membeli ikan kerana harganya melambung tinggi.

Iklan
Iklan

"Disebabkan faktor kewangan saya hanya memasak makanan secara sederhana di rumah termasuk hanya sayuran ketika berbuka puasa. Namun pada hari ini agak bertuah kerana mendapat ikan, udang dan sotong secara percuma.

Kamsiah

"Pada awalnya saya tidak percaya ada pihak yang mahu memberikan ikan secara percuma namun pada hari ini saya sangat gembira membawa pulang pelbagai jenis makanan laut termasuk ikan, udang dan sotong," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Dia merupakan antara 12 keluarga dalam golongan kurang berkemampuan yang menerima sumbangan itu daripada GM Seafood, Taman Mount Austin di sini pada Jumaat.

Rohayah

Suri rumah lain, Rohayah Talo, 66, pula bersyukur menerima sumbangan ikan dan berharap usaha seumpama itu akan berterusan.

Iklan

Sementara itu, Pemilik GM Seafood, Dr Gary Ko, 51, yang simpati dengan nasib golongan kurang bernasib baik itu berkata, pihaknya terus menyumbang makanan laut percuma setiap kali Ramadan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, tujuan sumbangan tersebut untuk berkongsi rezeki yang sesuai dijadikan lauk ketika berbuka puasa atau sahur.

Dia berkata, pada kali ini pihaknya menyumbangkan 150 kilogram ikan antaranya selar kuning, kembong, cencaru, kerisik selain sotong, udang dan lala.

"Sumbangan ini diberikan kepada penduduk PPR Sri Stulang terdiri daripada golongan daif, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU). Saya yakin sumbangan pelbagai jenis ikan ini dapat meringankan beban golongan ini tanpa perlu menanggung kos bagi membeli ikan di luar," katanya.

Jelasnya, sumbangan itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya dan kesinambungan daripada inisiatif untuk berbakti kepada masyarakat tempatan berbilang bangsa dengan cara tersendiri.

Sebelum ini katanya, dia bekerja sebagai pakar dermatologi di Bangkok namun mengambil keputusan kembali ke tanah air pada Disember 2019 berikutan penularan Covid-19.

"Tidak menjangka dalam mengharungi pelbagai cabaran hidup ketika pandemik, tuhan sebenarnya membuka hati saya untuk berbakti kepada masyarakat tempatan dan hampir setiap musim perayaan kami akan menyumbang ikan secara percuma.

"Daripada bekerja sebagai pakar dermatologi di Bangkok, saya mula mengendalikan perusahaan pemborongan ikan bersama keluarga dan saya gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat," ujarnya.

Dr Gary berharap, sumbangan syarikatnya yang merupakan pembekal makanan laut dan sejuk beku dapat memenuhi sedikit sebanyak keperluan penerima ketika Ramadan.

"Saya menyokong konsep Keluarga Malaysia dan tanpa mengira bangsa kita seharusnya bantuan membantu dan ia mampu memupuk semangat perpaduan serta keharmonian," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28