SHAH ALAM - Jenama penjagaan kecantikan, kulit dan diri, Kahf serta Emina mahu mengajak lebih ramai orang memanfaatkan bulan Ramadan dengan turut serta dalam aktiviti yang disediakan menerusi program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024.
Wakil pemasarannya, Bella Indah Permatasari berkata, ia bersesuaian dengan kempen produk berkenaan iaitu Detik-detik Berkat dan 'The Authentic Me' dengan mesej kepada pengguna untuk melakukan perkara yang diberkati ALLAH.
"Sebagai contoh, kami memberikan minuman dan produk percuma kepada pengunjung sebagai sumbangan daripada syarikat kepada mereka yang hadir memeriahkan program iftar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Bella Indah, pemberian produk seperti pencuci muka dan gincu bibir kepada pengunjung bertujuan untuk mengajak lebih ramai orang menjaga kebersihan serta penampilan diri.
"Kita semua tahu ALLAH mencintai orang yang menjaga kesihatan dan kebersihan. Jadi, dengan inisiatif tersebut diharapkan kita berjaya memberi pendedahan kepada pengunjung.
"Diharapkan dengan usaha ini, kita dapat membawa masyarakat untuk memanfaatkan peluang yang ada bagi merebut ganjaran pahala berlipat ganda," ujarnya.