Dua maut, 13 cedera, bas terbalik di Lebuhraya KLK

Iklan
Kerja-kerja pengalihan bas terbalik dan pembersihan lokasi kemalangan dijalankan pihak konsesi lebuh raya bagi melancarkan aliran lalu lintas. Foto FB Lebuhraya Pantai Timur

KUANTAN - Dua penumpang terdiri seorang wanita dan lelaki warga asing maut selepas bas persiaran dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) berhampiran Hentian Rehat Lentang, Bentong pada pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam nahas itu, 13 penumpang cedera dan dua daripada mereka termasuk pemandu bas dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Iklan
Iklan

"Lima lagi penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Aliran trafik di lokasi kembali lancar selepas kerja pengalihan bas terbalik selesai dijalankan kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat.

Zaiham berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Iklan

"Tiada mangsa tertindih di bawah bas sebagaimana video yang tular di laman sosial," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian melibatkan bas persiaran jenis Hino itu jam 7.53 pagi.

Iklan

"Susulan itu, 19 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi untuk bantuan menyelamat," katanya.

Zulfadli berkata, pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar untuk menerima rawatan.

Kerja-kerja pengalihan bas terbalik dan pembersihan lokasi kemalangan dijalankan pihak konsesi lebuh raya bagi melancarkan aliran lalu lintas. Foto FB Lebuhraya Pantai Timur

Pihak konsesi lebuh raya, Anih Berhad memaklumkan, semua lorong terhalang ekoran kemalangan tersebut menyebabkan trafik arah timur sesak sepanjang 7.4 kilometer dari KM44 hingga ke lokasi.

Menurutnya, aliran trafik dihentikan sementara bermula kira-kira jam 9 pagi di KM 51.5 untuk memberi laluan kepada jentera bantuan ke lokasi.

"Laluan alternatif dibuka sementara di KM 51.3 untuk kenderaan ringan.

"Lorong laju dan perlahan kini dibuka selepas kerja-kerja pengalihan kenderaan terlibat selesai dijalankan namun lorong kecemasan masih ditutup," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28