Penganggur mengaku salah rogol, cabul anak kandung

Iklan
Tertuduh berusia 38 tahun dan tidak bekerja membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia 19 tahun.

IPOH - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia 19 tahun.

Tertuduh berusia 38 tahun dan tidak bekerja membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol anak kandungnya di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah jam lebih kurang 10 hingga 12 malam pada Februari lalu.

Iklan

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan remaja tersebut di lokasi sama jam 8.30 pagi pada 20 Mac 2024.

Iklan

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 April depan untuk pengurusan kes dan hukuman.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28