PETALING JAYA - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM37.6 juta bagi menampung kos tol percuma sempena sambutan Aidilfitri ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menambah bilangan hari tol percuma dan hal itu kekal seperti diumumkan sebelum ini.
"Untuk dua hari tol percuma kerajaan telah membayar RM37.6 juta, kalau kita bundarkan angka itu lebih kurang RM38 juta kepada 33 konsesi lebuh raya di negara ini. Kiranya satu hari lebih kurang RM19 juta dibayar kepada syarikat konsesi.
"Jadi itulah keputusan dibuat oleh jemaah Kabinet. Muktamad,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persediaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghadapi musim perayaan di Menara Korporat Persada PLUS di sini pada Ahad.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 April ini, kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian).
Dalam pada itu, Ahmad berkata, PLUS menjangkakan sebanyak 2.1 juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya kendalian syarikat itu pada 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April ini susulan cuti hari raya, berbanding 1.82 juta pada waktu puncak hari biasa.
Bagi memastikan konsesi lebuh raya itu sentiasa dalam keadaan siap siaga, katanya, lebih 4,500 petugas PLUS akan bertugas sepanjang musim perayaan ini.
"Sebagai persediaan, PLUS telah menugaskan seramai 70 orang kakitangan sehari di Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC) pada waktu-waktu puncak untuk memantau, mengumpul dan menyalur maklumat trafik terkini serta menyelaras bantuan kepada pengguna lebuh raya.
"Bagi pengguna lebuh raya, rancang perjalanan dengan sebaiknya menggunakan jadual digital di aplikasi MyPLUS-TTA,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28