Sultanah Kelantan kurnia sumbangan Simpanan SSPN kepada pelajar asnaf

Iklan
Sultanah Nur Diana Petra mengurniakan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada Pelajar Asnaf di Majlis Pengurniaan Sumbangan Akaun Simpan SSPN kepada Pelajar Asnaf Negeri Kelantan.

SHAH ALAM - Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah mengurniakan sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime berjumlah RM30,000 kepada pelajar asnaf dengan peruntukan wakalah zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Kelantan.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sumbangan berkenaan akan memberi manfaat kepada 300 pelajar asnaf dengan setiap daripada mereka menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Ahmad Dasuki (kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM30,000 kepada Mohd Zamri (kanan) sambil disaksikan Norasni.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PTPTN sentiasa komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan masyarakat terutama golongan memerlukan tidak tercicir daripada arus pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan.

"Dalam memastikan peluang kejayaan untuk semua, PTPTN terus menumpukan kepada usaha membudayakan amalan penabungan agar masyarakat khususnya ibu bapa mengutamakan perancangan kewangan untuk kelangsungan pendidikan tinggi anak-anak.

Iklan

"Menjadi hasrat PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat daripada bergantung kepada pinjaman kepada budaya menyimpan supaya anak-anak tidak dibebani hutang setelah tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sumbangan berkenaan diberikan menerusi Majlis Pengurniaan Sumbangan Akaun Simpan SSPN kepada Pelajar Asnaf Negeri Kelantan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan pada 25 Mac lalu.

Sultanah Nur Diana Petra berkenan bergambar bersama pelajar-pelajar asnaf negeri Kelantan yang menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

Iklan

Turut hadir, Ahmad Dasuki; Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Norasni Ayob; Anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan, Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Al Haj; Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, pihak PTPTN berharap agar penabungan itu dapat membantu pelajar asnaf untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, mempunyai masa depan yang terjamin sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Menurutnya, simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen kompetitif, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

"Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan, meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah sekali gus menjadi modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"PTPTN akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN, Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28