SHAH ALAM - Pengarah sebuah syarikat teknologi maklumat akan dirakam keterangan pada Sabtu ini susulan tuntutan sebuah bagasi berisi wang tunai di tempat parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 20 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki terbabit sebelum ini mendakwa wang tersebut adalah milik syarikatnya dan akan datang menuntut pada Sabtu.
Iklan
Iklan
"Susulan itu, kita akan rakam percakapan individu berkenaan selain dia perlu kemukakan beberapa bukti yang menyatakan wang berkenaan benar-benar milik syarikatnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi, Rabu lepas.
Hussein dilaporkan berkata, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28