Simbah air panas, wanita sebak bebas hukuman penjara pada Ramadan

Iklan
Wanita berkenaan (kiri) sebak ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka pada Jumaat.

MELAKA - Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang banduan wanita apabila dapat meraikan pertengahan Ramadan bersama keluarga setelah Mahkamah Tinggi mengurangkan tempoh hukuman penjara terhadapnya, sekali gus bebas daripada menjalani hukuman tersebut pada Jumaat.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan rayuan wanita berusia 38 tahun itu dan memutuskan hukuman dikenakan ke atas individu terbabit adalah selama mana dia telah menjalani hukuman tersebut, berbanding tempoh tiga tahun yang dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Wanita tersebut (tiga dari kiri) bersama peguam di hadapan pintu Mahkamah Tinggi Melaka pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mahkamah Tinggi juga berpuas hati dengan hujah pembelaan dan menerima insiden yang berlaku sebagai kes terpencil dan tiada rekod lain yang menunjukkan anak-anak yang lain turut didera.

Peguam yang mewakili wanita itu, Samry Masri berkata, keputusan itu bermakna anak guamnya hanya menjalani hukuman penjara selama enam bulan dan tiga hari di Kompleks Penjara Sungai Udang sebelum dibebaskan.

Menurutnya, anak guamnya turut bersyukur dibebaskan pada bulan Ramadan dan dapat menyambut hari raya bersama keluarga tidak lama lagi.

Iklan

"Hari ini dia dapat kembali ke pangkuan keluarga terutama anaknya yang berusia lapan bulan dan masih menyusu badan.

"Dia juga bersyukur dan insaf atas apa yang telah berlaku dan tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada 31 Januari lalu melaporkan individu itu dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyimbah air panas pada anak lelakinya yang kantoi menonton video lucah di telefon bimbit.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Sementara itu, wanita berkenaan berkata, dia setiap hari berdoa kepada ALLAH dapat bersatu kembali dengan keluarganya malah kasih sayang terhadap anak lelakinya itu tidak pernah kurang.

Menurutnya, tidak pernah ada perasaan benci kepada anaknya meskipun itu yang menjadi punca dia didakwa di mahkamah dan seterusnya dipenjarakan.

"Saya sayangkan anak saya itu, semua anak saya, di bulan baik ini dapat kami bertemu dan permulaan baharu kepada saya dalam menghampiri Syawal tidak lama lagi.

"Banyak pengajaran yang saya belajar di penjara, walaupun hanya beberapa bulan namun mendekatkan diri saya dengan Yang Maha Esa," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28