SHAH ALAM - Syarikat bumiputera kejuruteraan awam, Pintas Utama menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM3 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Majlis penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan dalam satu majlis penyerahan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Kota Kemuning, di sini pada Khamis.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir Zainudin Karjan berkata, keadaan ekonomi negara yang stabil memberi peluang kepada syarikatnya dan korporat lain untuk melaksanakan tanggungjawab rukun Islam yang keempat itu.
"Kestabilan ini membolehkan masyarakat menyumbang kembali kepada golongan yang memerlukan serta memperkukuh institusi umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zainudin memberitahu, pelbagai program kebajikan dilaksanakan di Yayasan Pintas Utama.
"Pada bulan mulia ini, Pintas Utama meraikan dan menyantuni 18 buah rumah anak-anak asnaf terpilih merangkumi seluruh Semenanjung Malaysia.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan mewakili LZS menerima serahan zakat daripada syarikat korporat pada majlis itu.
Baginda juga turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28