KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pindaan terhadap Seksyen 21 Akta Polis 1967 (Akta 344), yang berkaitan dengan tugasan mengiring di jalan raya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dengan pindaan itu, hukuman bagi Seksyen 21 Akta 344 akan dinaikkan menjadi sama seperti menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Tiada masalah jika Seksyen 21 ini dipinda. Kita akan pakai dua-dua dan ikut mana yang lebih baik dan afdal. Memang ada keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Antaranya, Fasal 4 bertujuan meminda Seksyen 21 untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan pegawai polis melaksanakan tugas mengiring di mana-mana jalan awam dan mana-mana orang yang menggalang, menentang atau melanggar arahan polis, boleh didenda sehingga RM10,000 serta penjara sehingga dua tahun, berbanding hukuman RM200 dan dua bulan penjara sebelum ini.
Razarudin berkata, tidak sepatutnya timbul sebarang isu mengenai pindaan ini, kerana kesemuanya sudah diputuskan oleh pihak yang mempunyai kuasa.
"Kesemuanya sudah diputuskan di Parlimen,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28