Projek LRT tidak jejas status Georgetown sebagai tapak warisan Unesco

Iklan
Anthony Loke ketika sidang Media Berkenaan Pelaksanaan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Kementeriannya pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan memberi jaminan pembangunan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak akan menjejaskan status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Bercakap pada sidang media di sini pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembangunan projek itu telah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta Penilaian Kesan Sosial (SIA) selepas SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) melaksanakan kajian teknikal dan reka bentuk awalan.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu kawasan yang sensitif (kawasan warisan UNESCO) perlu diambil kira dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sudah tentu ia akan diberi perhatian khusus,” katanya bagi mengulas mengenai kesan projek itu terhadap bandar Georgetown.

Georgetown disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008.

Iklan

Terdahulu, Anthony mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lepas telah meluluskan cadangan pembangunan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dan kerajaan Persekutuan mengambil alih projek itu daripada kerajaan negeri.

Jarak jajaran LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dianggarkan sepanjang 29 kilometer itu akan bermula dari Pulau Silikon ke Komtar dan menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Jaya. - Bernama

Iklan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28