ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki melecur pada bahagian muka, kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran sebuah kedai dobi di Jalan Penyiaran Taman Universiti di sini pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Suraini Adnan dan Komander Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar, mereka menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.16 pagi.
Mereka berkata, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumah kedai struktur kekal seluas 6 x 21 meter yang musnah 90 peratus.
"PKO kemudiannya bertindak membuat pemadaman di bahagian hadapan dan belakang premis. Insiden berkenaan telah mengakibatkan dua orang awam melecur di bahagian muka, kaki dan tangan," katanya.
Difahamkan, mangsa berusia 49 tahun melecur sebanyak 50 peratus, manakala seorang lagi mangsa berusia 54 tahun melecur 30 peratus.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sekitar jam 11.07 pagi, manakala punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28