TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Persiapan Aidilfitri termasuk baju raya sekeluarga musnah dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Gerong, Wakaf Bharu, di sini pada Jumaat.
Kejadian berlaku jam 12.45 tengah hari itu turut menyebabkan mereka hilang tempat tinggal.
Guru Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Jawadah Mahmood, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur sedang membersihkan ikan untuk memasak juadah berbuka puasa.
Menurutnya, dia tiba-tiba melihat api menyala dari bahagian rak di dapur rumah dan menyambar dinding kayu di sebelahnya.
"Api marak dengan cepat menyebabkan seluruh rumah hangus termasuklah baju raya kamu sekeluarga yang sudah siap dibeli sebelum Ramadan lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini pada Jumaat.
Kejadian itu turut memusnahkan kereta Perodua MyVi dan Proton Saga miliknya yang diletakkan di depan rumah selain dua kucing peliharaan juga mati.
"Suami saya, Mat Azhar Mat Said, 53, cuba untuk mengalihkan kereta semasa kebakaran tetapi keadaan kelam kabut dia tidak menjumpai kunci menyebabkan kedua-duanya kenderaan itu terbakar.
"Selain saya dan suami, tiga anak kami berusia 15, 13, dan 8 tahun sempat menyelamatkan diri manakala seluruh harta benda kami musnah,” katanya yang juga adik kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.
Sementara itu, seorang lagi mangsa juga birasnya, Asiah Ismail, 72, berkata, dia terkejut apabila mendengar teriakkan salah seorang anak Jawadah memintanya keluar dari rumah yang terletak bersebelahan rumah mereka untuk menyelamatkan diri.
"Saya tinggal bersendirian di rumah dan waktu itu hendak bersiap untuk solat Zuhur, saya juga terdengar bunyi letupan kecil dan segera berlari keluar dalam keadaan sehelai sepinggang.
"Api marak dengan cepat dan menyambar ke dinding rumah saya pula. Saya cuba menyimbah dengan air tetapi cuaca terlalu panas menyebabkan api membakar kedua-dua rumah kami,” katanya.
Tambah Asiah, buat sementara waktu, mereka menumpang rumah kakaknya, Mariam Ismail, 73, yang terletak berhadapan dengan rumah mereka.
Kata warga emas itu, dia mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM70,000 manakala RM150,000 bagi keluarga Jawadah selain wang tunai RM400 milik Mariam yang diletakkan di rumahnya turut hangus.
Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Lizan Abu Bakar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 12:54 tengah hari dan kebakaran dapat dikawal jam 1.19 petang.
"Seramai 11 anggota, bomba bantuan dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat serta Wakaf Bharu terlibat dalam operasi memadam kebakaran.
"Tindakan pemadaman menggunakan pam jentera dengan sumber air pili bomba berhampiran dan kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28