RINGGIT mengakhiri dagangan hari ini untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS berikutan permintaan domestik yang bertambah baik selepas penjualan besar-besaran baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan melonjak semula di tengah-tengah dolar AS yang lebih kukuh menjelang pengumuman data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini.
Beliau memberitahu Bernama bahawa indeks harga PCE AS untuk Februari akan dipantau dengan teliti apabila Biro Analisis Ekonomi AS mengeluarkan laporan itu malam ini.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7215/7280 berbanding dolar AS daripada 4.7320/7370 pada semalam.
Pada Januari, indeks harga PCE menyederhana kepada 2.4 peratus tahun ke tahun daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya manakala anggaran konsensus menunjukkan bahawa kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan 2.5 peratus pada Februari.
Rizab Persekutuan AS semasa mesyuaratnya bulan lepas mengekalkan unjuran PCE pada 2.4 peratus untuk 2024.
"Ringgit telah berlegar di antara RM4.7242 dan RM4.7390 berbanding dolar AS hari ini kerana aset berisiko seperti ekuiti mendapat momentum dan dijangka ditutup pada paras yang baik untuk suku pertama tahun ini,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0907/0977 daripada 5.1233/1287 pada penutup Rabu dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9548/9630 daripada 5.9742/9805 sebelumnya.
Nota tempatan itu juga lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1194/1241 daripada 3.1261/1298 pada Rabu.
Ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang di negara Asean.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9712/12.9983 daripada 12.9925/13.0130 pada semalam dan juga lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 297.7/298.2 berbanding 298.3/298.8 sebelumnya.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4987/5040 daripada 3.5112/5151 pada penutup semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.41/8.43. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28