RM57.15 juta tingkat pengeluaran getah asli negara melalui Petara

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan peruntukan bagi program pembangunan getah negara sebanyak RM57.169 juta kepada Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal (dua dari kanan) pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Jumaat. Foto Bernama

BAGAN DATUK - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperuntukkan RM57.15 juta sebagai permulaan usaha meningkatkan pengeluaran hasil getah asli negara, melalui program Model Pengeluaran Getah Negara (Petara).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Petara, merupakan model hala tuju baharu Risda dalam usaha memastikan sektor getah menuju kelestarian melalui Aspirasi Desa MADANI, yang diperkenalkan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Ia bertujuan melakukan pengeluaran semula hasil getah, kita bincang untuk tambah pendapatan pekebun kecil getah melalui 257,000 hektar tanah, yang tidak digunakan atau tidak digunakan sepenuhnya kerana tidak cukup pekerja di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Risda, Manndzri Nasib.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, melalui program itu Risda akan mencari mekanisme baharu bagaimana penghasilan getah dapat dipertingkat termasuk mencari penyelesaian mencari tenaga kerja menggantikan pekebun yang kebanyakannya telah berusia.

Beliau berkata, selain itu Risda juga akan mengkaji alternatif produk tanaman lain, selain getah yang berpotensi menjana pendapatan kepada pekebun kecil getah.

"Melalui model ini (Petara) kita jangkakan hasil pulangan akan dapat dalam masa setahun sehingga tiga tahun, iaitu satu tempoh yang cepat bagi memastikan hasil kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Iklan

Sementara itu dalam majlis sama Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial Risda, kepada enam pusat pendidikan di Bagan Datuk berjumlah RM50,000.

Turut menerima sumbangan ialah 1,500 asnaf dari Parlimen Bagan Datuk. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28