KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan di seluruh negara termasuk keselamatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipertingkatkan.
Jaminan itu diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ekoran penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang, dekat sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihak polis akan lebih berwaspada dan mengambil langkah awal meningkatkan kawalan keselamatan terhadap rakyat dan barisan kepimpinan negara.
"Melihat kepada isu Palestin-Israel ketika ini, kita perlu berwaspada dengan tahap keselamatan golongan kenamaan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa individu lain.
"Dakwaan suspek bahawa dia datang ke Malaysia untuk membunuh individu dari Israel juga tidak boleh diterima sepenuhnya kerana lelaki terbabit mungkin ada agenda lain," katanya dalam sidang akhbar di Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada Jumaat.
Terdahulu, seorang lelaki warga Israel yang menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke negara ini ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, dekat sini pada Rabu.
Pemeriksaan di bilik hotel tersebut menemukan enam pucuk senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger berserta 200 peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Siasatan polis mendapati, kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28