PEMAIN beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan tidak berasa kecil hati sekiranya dia dan pasangan, M Thinaah tidak disenaraikan ke skuad Piala Uber 2024 di Chengdu, China, bermula 27 April hingga 5 Mei ini.
Sebaliknya, beliau memandang situasi tersebut dari sudut positif apabila boleh memberi tumpuan mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Ini keputusan jurulatih sama ada mahu (kami) pergi atau tidak, ada faedahnya untuk kedua-dua situasi ini. Sekiranya pergi kami dapat main dan ambil semangat kejohanan.
"Jika tidak pergi pula kami ada masa panjang untuk latihan (persiapan ke Sukan Olimpik 2024),” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky sebelum ini tidak menolak kemungkinan bahawa Pearly-Thinaah mungkin disisihkan daripada skuad Piala Uber 2024 bagi membantu mereka fokus kepada persiapan Sukan Olimpik 2024.
Bagaimanapun, Rexy berkata, barisan kejurulatihan perlu mendapatkan pandangan pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum mengumumkan barisan akhir.
Sebagai rekod, Malaysia, yang tidak pernah menjuarai Piala Uber dan turun selaku pilihan ke-10, bakal mengharungi laluan berliku pada edisi kali ini apabila diletakkan dalam Kumpulan B bersama pilihan keempat Thailand, Taiwan (pilihan keenam) dan Australia.
Sementara itu, Pearly mengakui berdepan cabaran getir selepas diundi menentang pilihan kelapan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, dari 9 hingga 14 April ini.
Justeru, pemain berusia 24 tahun itu berkata, mereka akan berbincang bersama barisan kejurulatihan mengenai strategi yang tepat dalam usaha mengatasi pasangan dari negara matahari terbit itu.
Biarpun gandingan Matsumoto-Nagahara berada di ranking kelapan, namun rekod perlawanan tetap memihak pasangan negara yang menghuni kedudukan ke-13 dunia apabila menang tiga daripada empat pertemuan sebelum ini.
Dalam pada itu, pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei mengakui berasa tertekan apabila beliau dan pasangan Nur Izzuddin Rumsani, bakal membuka kempen BAC 2024 menentang juara bertahan dunia dan pilihan kedua dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae.
"Tekanan ada namun kena tangani dengan cara yang bagus...kami tak boleh fikir banyak, cuma perlu cuba yang terbaik dan kemudian bincang dengan jurulatih apa strategi yang perlu dipakai,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28