Mekanik, peniaga antara tujuh diberkas terlibat pergaduhan

Iklan
Tujuh individu ditahan di sekitar kawasan Ampang pada Isnin disyaki terlibat pergaduhan pada Sabtu.

AMPANG - Gara-gara ingin meleraikan pergaduhan, seorang lelaki cedera ditumbuk dalam kejadian dekat Pandan Mewah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa bersama beberapa rakannya dalam perjalanan menuju ke kedai makan.

Iklan
Iklan

"Mangsa dan rakan kemudiannya terserempak dengan sekumpulan individu sedang melepak di kawasan berdekatan sebelum mereka ditahan oleh beberapa individu berkenaan.

"Kekecohan mula berlaku, bagaimanapun mangsa bersama rakannya dipercayai cuba meleraikan pergaduhan itu sebelum ditumbuk dan disepak beberapa individu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, kesemua suspek kemudian bertindak meninggalkan lokasi kejadian selepas menyedari kehadiran sebuah kereta peronda polis.

"Kesemua suspek terlibat terus berlari menuju flat berdekatan sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis di lokasi kejadian.

Iklan

"Susulan itu, satu siasatan dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Menurutnya, siasatan kemudiannya membawa tangkapan tujuh individu di sekitar kawasan Ampang pada Isnin.

"Operasi dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah menahan kesemua suspek berumur 19 hingga 43 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan mekanik.

"Dua suspek didapati positif dadah serta semakan rekod dijalankan mendapati kesemua suspek masing-masing memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28