SHAH ALAM - Bungkusan mencurigakan yang ditemui di kawasan hutan di Ba'kelalan, di utara Sarawak membongkarkan lokasi transit gula serta diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran pada Jumaat.
Selain gula, anggota Tentera Darat terlibat turut menemui tiga tong yang mengandungi diesel yang keseluruhannya berjumlah 105 liter menerusi operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Sektor Op Jagakawan, di Kampung Punang, Ba'kelalan itu.
Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, bungkusan ditemui ditutup dengan kanvas di lokasi yang terletak kira-kira 900 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.
"Anggota Tentera Darat yang menjalankan rondaan di kawasan berhampiran sempadan sebelum menemukan barangan berkenaan pada jam 9.45 pagi.
"Kesemua barangan itu terdiri 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan tiga tong minyak diesel dengan setiap tong mengandungi 35 liter," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kesemua barangan ini akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas pada 3 April ini.
"Laporan polis berkaitan penemuan kesemua barangan ini dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28