Bekalan air masih terkawal di kebanyakan negeri - SPAN

Iklan
Empangan Air Itam dilihat semakin surut berikutan cuaca panas yang melanda di negara ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sumber bekalan air mentah dan perkhidmatan di 47 empangan serta 67 Loji Rawatan Air (LRA) utama di seluruh Semenanjung dan Labuan, masih berada dalam keadaan terkawal.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, paras empangan utama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan kebanyakan empangan di Johor, berada pada paras memuaskan iaitu melebihi 80 peratus.

Iklan
Iklan

"Namun, beberapa empangan bekalan air di utara telah menunjukkan trend penurunan paras simpanan dan berada di paras berjaga-jaga dan buat waktu ini, paras empangan untuk bekalan air belum mencapai paras kritikal,” menurut kenyataan itu.

Memperincikan peratusan paras simpanan semasa empangan di utara Semenanjung, SPAN memaklumkan empangan di Timah Tasoh, Perlis berada pada tahap 56.21 peratus; empangan Muda di Kedah 40 peratus.

Iklan

"Empangan BS Padang Saga di Kedah 37.25 peratus; Empangan Malut, Kedah 38.9 peratus; empangan di Air Hitam, Pulau Pinang 34.1 peratus,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan kesemua paras simpanan semasa empangan tersebut berada pada tahap berjaga-jaga.

Bagi perkhidmatan bekalan air di Wilayah Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, SPAN memaklumkan tujuh empangan dan tiga sungai utama di Selangor, merekodkan paras empangan atau sungai pada paras maksimum dan ia membolehkan kesemua 34 LRA beroperasi pada kapasiti normal.

Iklan

Sementara itu, Wilayah Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang, sebahagian besar empangan atau sungai berada pada paras stabil, dengan kesemua LRA beroperasi pada kapasiti normal kecuali LRA Kelar di Kelantan, yang merekodkan penurunan disebabkan penyusutan sumber air mentah.

"Terdapat beberapa kawasan di Kelantan turut mengalami tekanan air rendah disebabkan kemerosotan sumber bekalan air mentah, khususnya bagi punca air melalui sumber bawah tanah,” menurut kenyatana SPAN.

Bagi Wilayah Selatan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, hanya Empangan Sembrong Barat di Johor berada pada paras berjaga-jaga, namun keadaan itu tidak menjejaskan pengeluaran air terawat di LRA Sembrong Barat.

"Situasi semasa bekalan air di Labuan pula, Empangan Sungai Pagar telah mengalami penyusutan dan langkah mitigasi telah diambil oleh pihak operator.

"Menempatkan tangki statik dilokasi strategik serta bantuan penghantaran bekalan air melalui lori tangki mengikut keperluan dan pada masa ini, LRA Sg Pagar masih beroperasi dengan pengeluaran secara normal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, SPAN menjangkakan permintaan bekalan air akan bertambah di antara 10 ke 15 peratus daripada pengeluaran semasa, menjelang musim perayaan khususnya di negeri Wilayah Utara, Timur dan Selatan, kecuali bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Georgetown dan Johor Bahru yang dijangka akan menurun.

Berikutan itu, SPAN tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku gangguan sekiranya trend penurunan direkodkan secara berterusan untuk minggu-minggu mendatang, dan pengguna diingatkan menggunakan air secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran bagi menjamin bekalan yang berterusan di premis kediaman masing-masing.

Pengguna diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan operator perkhidmatan air di negeri masing-masing, untuk sebarang kemas kini dan maklum balas melalui sistem e-aduan di laman sesawang SPAN atau aduan@span.gov.my atau WhatsApp ke 0133885000. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28