PUTRAJAYA - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang bertujuan untuk merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat, dibangunkan dengan mendapat panduan, nasihat serta maklum balas daripada beberapa pihak berkaitan, dalam menguruskan keselamatan siber negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, antara pihak yang terlibat dalam menguruskan keselamatan siber negara termasuklah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Cybersecurity Malaysia.
"Saya lihat tidak ada masalah dalam sistem ini, kerana seperti yang disebut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, data yang disimpan di dalam sistem PADU juga bersifat encrypted.
"Jadi sekiranya berlaku pun sebarang tindakan untuk mencuri data itu, tetapi pencuri data tidak boleh membuka dokumen ataupun data tersebut,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan pakar keselamatan siber, yang mengatakan sistem PADU dibangunkan menggunakan kaedah teknologi lapuk, yang berpotensi menjejaskan integriti data.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyatakan keyakinannya terhadap tahap keselamatan sistem itu, apabila beliau termasuk ahli keluarganya sendiri telah selesai mendaftar maklumat peribadi dalam PADU.Sementara itu, mengulas mengenai draf perjanjian berkaitan tuntutan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan Kerajaan MADANI seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional, Fahmi berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.
"Memang tidak ada draf yang dinyatakan sebelum ini, tapi ada beberapa cadangan yang sedang kita olah dan teliti.
"Langkah seterusnya kita akan bawa beberapa cadangan kepada majlis pimpinan bagi kerajaan MADANI, yang melibatkan ketua-ketua parti komponen. Sekiranya perbincangan dengan pihak pembangkang berjalan dengan baik, akhirnya akan kembali ke kabinet untuk diputuskan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata tiada sebarang draf dokumen diserah atau diterima semasa pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, di Parlimen pada 19 Mac. - Bernama