Tempahan biskut raya berkurang 50 peratus berbanding tahun lalu

Iklan
Peniaga biskut raya antara individu yang paling sibuk setiap kali menjelang sambut hari raya kerana menyiapkan tempahan daripada pelanggan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dari kiri: Noor Hafiza, Nor Azuwa dan Norhidayati)

SHAH ALAM - Peniaga biskut raya antara individu yang paling sibuk setiap kali menjelang sambut hari raya kerana menyiapkan tempahan daripada pelanggan.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan mereka berhadapan dengan kemerosotan tempahan biskut raya sehingga 50 peratus berbanding tahun lepas.

Iklan
Iklan

Peniaga biskut raya di Selangor, Noor Hafiza Che Abdullah, 36, berkata, tempahan yang diterima berkurang daripada 600 bekas kepada 300 bekas pada tahun ini.

Menurutnya, dia dapat menjangka penurunan jumlah tempahan disebabkan ada peniaga lain yang menawarkan jualan bajet bernilai RM100 untuk lima jenis biskut.

Iklan

"Bagaimanapun, saya (peniaga kecil) tidak mampu untuk menjual dengan harga sedemikian. Kalau jual (biskut bajet), saya tidak akan menerima keuntungan yang sepatutnya dan ini akan merugikan saya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya, kemerosotan tempahan itu juga mungkin disebabkan oleh jenis biskut yang dijual tidak menepati cita rasa pembeli.

Iklan

Jelas Noor Hafiza, tahun ini dia hanya menjual sebanyak sembilan jenis biskut raya berbanding 11 pada tahun lalu.

"Saya terpaksa mengeluarkan Almond Pod Biscoff dan Tart Nanas daripada senarai jualan kerana harga jem nanas dan biscoff naik begitu mendadak.

"Tahun lalu, harga jem di pasaran hanya RM10.90 sahaja tetapi tahun ini naik sebanyak 50 peratus kepada RM15.90. Bagi peniaga kecil, ini bukan kenaikan yang sedikit tetapi besar kerana kami membeli dengan kuantiti yang banyak,” luah ibu kepada dua orang anak itu.

Sementara itu, peniaga biskut di Perak, Nor Azuwa Md Hashim, 38, berkata, dia turut berhadapan dengan kemerosotan jumlah tempahan sebanyak 30 peratus.

"Saya betul-betul terkesan kerana jumlah jualan berkurang tetapi saya terpaksa mengeluarkan modal sehingga RM23,000 berbanding RM16,000 pada tahun lalu.

"Perbezaan sebanyak RM7,000. Ini membuktikan bahawa harga bahan-bahan biskut naik begitu mendadak pada tahun ini,” ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Bagaimanapun, Nor Azuwa berkata, walaupun modal yang dikeluarkan besar, dia sama sekali tidak mahu mengambil pendekatan untuk memindahkan kos itu kepada pembeli.

Tambahnya, dia khuatir tindakan dengan menaikkan harga hanya kerana mahu keuntungan berlipat kali ganda menyebabkan mereka enggan membuat pembelian.

Pada masa sama, Norhidayati Safiee, 38, berkata, landskap perniagaan pada tahun ini ternyata berbeza berbanding tahun lalu kerana dia terpaksa mengeluarkan modal yang besar walaupun tempahan berkurang.

"Tempahan biskut raya yang saya terima pada tahun ini berkurang sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu. Walaupun tempahan itu berkurang sedikit tetapi nilainya besar bagi saya.

"Kalau difikirkan semula, jika tempahan berkurang ia bermakna modal yang diperlukan untuk membuat biskut turut berkurangan tetapi hari ini, modal semakin bertambah,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan para peniaga memperoleh keuntungan yang lebih kecil berbanding tahun lalu kerana harga barang meningkat hari demi hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28