JAKARTA - Kisah seorang warga emas di Indonesia yang tidak dapat melihat jenazah isterinya buat kali terakhir telah menyentuh hati netizen di negara itu baru-baru ini.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok @_nautami, Wakyani yang sudah mencecah usia 80 tahun meninggalkan kampungnya bagi mencari rezeki di perantauan.
Dalam video tersebut, Wakyani memberitahu, dia berasa cukup sedih kerana tidak dapat melihat isterinya buat kali terakhir kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang pengangkutan awam.
Dengan linangan air mata, Wakyani yang mencari pendapatan sebagai penjual susu berkata, dia terkilan kerana tidak dapat mengebumikan jenazah isterinya.
Video tersebut tular di media sosial dan mendapat lebih 1.2 juta tontonan. Malah, ramai netizen menyalurkan derma bagi membantu membiayai kos Wakyani untuk pulang ke kampung.
Dalam video terbaharu, pemilik akaun itu merakamkan detik bertemu semula dengan Wakyani yang masih setia bekerja keras menolak troli untuk menjual susunya walaupun dalam cuaca hujan.
"Tuhan hendak beri rezeki Wakyani melalui video supaya orang ramai berpusu-pusu menderma. Tak kira dari mana datangnya, di luar jangkaan,” ujar pemilik akaun tersebut.
"Terima kasih atas kesabaran dan ketabahan anda sehingga hari ini," tulis pemilik akaun itu. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28