'Kali ini 'feeling' dia lain, memang seronok'

Iklan
Program Jelajah Iftar ala Madinah di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam yang diadakan pada Jumaat mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung yang ingin merasakan berbuka puasa di Madinah. Gambar kecil dari kiri: Nurul Khadijah, Zulkifli, Siti Nur Syafiqah, Masyitah

BUKIT MERTAJAM - Teringin untuk merasai berbuka puasa di Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam antara alasan beberapa pengunjung menyertai Jelajah Iftar ala Madinah di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam di sini yang diadakan pada Jumaat.

Kakitangan kerajaan, Zulkifli Md Isa, 55 berkata, kemeriahan iftar ala Madinah di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang dibaca melalui akhbar Sinar Harian menyebabkan dia dan isterinya mendaftar untuk merasai pengalaman tersebut di sini.

Iklan
Iklan

Dia yang merupakan pembaca setia Sinar Harian berkata, setelah mengetahui mengenai penganjuran Jelajah Iftar ala Madinah di sini, dia tidak tunggu lama untuk mendaftar melalui dalam talian bagi menyertai program tersebut.

"Selama ini, saya baca dalam (akhbar) Sinar Harian saja, seronok tengok pengunjung berbuka puasa ramai-ramai di Karangkraf. Saya nak pergi, jauh sangat sebab saya tinggal di Kulim, Kedah.

Iklan

"Namun apabila saya baca mengenai iftar ala Madinah yang akan diadakan di Pasar Raya Besar Mydin di sini, saya terus daftar kerana saya fikir, ini lah peluang yang saya nanti-nantikan. Saya tak mahu terlepas peluang ini, memang seronok.

"Terima kasih Sinar Harian dan Mydin kerana menganjurkan program yang baik ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan
Selain orang ramai, majlis berbuka puasa itu turut disertai lebih 20 pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Akademi al-Quran As Syamil.

Sementara itu, suri rumah, Nurul Khadijah Ariffin, 38, berkata, dia dan suami memang mengimpikan untuk menyertai iftar ala Madinah @Karangkraf di Shah Alam namun tidak berpeluang kerana jarak yang jauh.

Katanya, apabila terbaca mengenai iftar beramai-ramai yang akan dianjurkan di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam, dia terus mendaftar untuk merasai sendiri keseronokkan berbuka puasa beramai-ramai bersama pengunjung lain.

"Ini adalah pengalaman pertama saya dan keluarga berbuka ala Madinah di sini. Sebelum ini, saya dan keluarga hanya berbuka puasa di rumah, masjid dan di padang sahaja.

"Pengalaman ini menyeronokkan kerana saya berpeluang berbuka puasa seperti di Madinah. Saya selalu kata kat suami, teringin nak pergi Shah Alam, berbuka puasa beramai-ramai dan akhirnya hari ini, saya berpeluang walau pun bukan di Shah Alam," katanya.

Kakitangan kerajaan, Khairul Akmal Nasri, 30, berkata, konsep yang dianjurkan Sinar Harian itu adalah terbaik kerana di samping bersedekah di bulan Ramadan, ia juga akan meningkatkan ukhwah antara umat Islam yang menyertainya.

"Apabila saya terbaca iklan di Facebook Pasar Raya Besar Mydin mengenai program ini, saya tak tunggu lama, isi (borang) terus. Saya tak bincang dengan isteri dan anak-anak pun, sebab saya tahu mereka pun suka aktiviti seperti ini.

"Kami sekeluarga selalu juga berbuka puasa beramai-ramai di masjid, padang, tepi laut tetapi kali ini, 'feeling' dia lain. Memang seronok," katanya.

Pekerja swasta, Masyitah Hashim, 29, berkata, Sinar Harian dan Pasar Raya Besar Mydin perlu meneruskan program berbuka ala Madinah itu setiap tahun kerana ia merupakan satu aktiviti yang baik dan menarik.

"Saya datang bersama dua orang kakak dari Tasek Gelugor untuk merasai suasana berbuka seperti di Madinah. Memang seronok, makanan pun 'meriah' dan sedap.

"Jika ada lagi penganjuran seperti ini tahun hadapan, pasti saya akan mendaftar untuk menyertainya. Saya harap, tahun akan datang, Mydin dan Sinar Harian buat lagi program menarik seperti ini," katanya.

Pengunjung yang telah mendaftar melalui dalam talian mengesahkan pendaftaran mereka sebelum menyertai program berbuka puasa ala Madinah di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, jururawat, Siti Nur Syafiqah Mat Noor, 31, yang datang bersama tunangnya, Fadhil Berahim, 26, dari George Town teruja untuk berbuka beramai-ramai bersama pengunjung lain.

"Saya memang teringin nak merasai berbuka puasa seperti di Madinah, tetapi nak pergi ke sana, tak tahu bila dapat peluang. Jadi, dengan adanya program berbuka ala Madinah di sini, dapat lah saya rasa bagaimana berbuka di sana.

"Saya seronok dapat bersama-sama tunang berbuka beramai-ramai di sini. Walau pun tak mengenali antara satu sama lain, tetapi ukhuwah itu ada. Secara tak langsung, kami dapat rakan baharu. Saya harap program seperti ini tidak dihentikan dan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Kira-kira 800 pengunjung hadir untuk menyertai Jelajah Iftar ala Madinah di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam di sini.

Ia merupakan lokasi kelima selepas di Mydin USJ Subang Jaya, Mydin Seremban 2, Mydin MITC dan Mydin Meru.

Selain orang ramai, majlis berbuka puasa itu turut disertai lebih 20 pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Akademi al-Quran As Syamil.

Majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh bekas peserta Pencetus Ummah (PU) dan pendakwah bebas, Mohd Zainudin Mohamed Zaini atau PU Yeop.

Mohd Zainudin yang ditemui selepas majlis berbuka puasa berkata, detik paling menyeronokkan pada bulan Ramadan adalah ketika berbuka puasa.

"Apabila Sinar Harian dan Mydin menganjurkan program berbuka puasa seperti ini, ini adalah aktiviti yang sangat baik. Pada saya, kalau boleh, diteruskan setiap hari, lagi bagus.

"Jika kita tengok, ramai yang datang bawa ahli keluarga, berkumpul bersama-sama, mengeratkan silaturahim, ini amat digalakkan dalam Islam. Ia dapat memberi gambaran kepada orang bukan Islam bahawa Islam ini kuat kerana boleh bersama-sama duduk sekali untuk berbuka puasa walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

"Bukan dalam solat sahaja kita berjemaah, makan berjemaah pun digalakkan dalam Islam. Saya seronok melihat sambutan di dua majlis yang saya turut serta, sambutannya amat menggalakkan. Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!