BATU PAHAT -"Berikanlah kekuatan kepada setiap ahli keluarga kami," tulis Norhisham Samsusah, 36, di laman Facebooknya selepas enam ketul tulang ditemui di Tongkah Pecah, dua bulan lalu, disahkan milik Bella atau Mila Sharmila Samsusah.
Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu berkongsi perkara itu selepas keluarganya menerima laporan forensik dari Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada malam Jumaat.
"Alhamdulillah syukur, saya dimaklumkan keputusan ujian forensik mengenai tulang yang ditemui baru-baru ni telah keluar dan dimaklumkan memang milik arwah adik saya Bella.
"Sekali lagi perasaan kami hari ni bercampur aduk.... Sebak, sedih, kecewa dan marah semua ada... Bila agaknya luka kat hati ni akan pulih?" tulisnya.
Norhisham turut memaklumkan, tuntutan tulang terbabit akan dibuat di HSI pada Sabtu dan akan dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Banang Height.
"Di bulan yang penuh keberkatan ini saya memohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah.
"Semoga ALLAH ampunkan segala dosa arwah dan menerima amalan serta mengangkat darjatnya di sisi ALLAH," katanya.
Norhisham berkata, beliau sekeluarga berharap tulang tangan dan tulang belakang yang hilang dijumpai secepat mungkin.
"Satukanlah anggota arwah dan lengkapkan seperti mana yang lain dan saya juga sentiasa mendoakan supaya keadilan untuk arwah Bella dapat ditegakkan.
"Sesungguhnya kami semua sangat rindukan Bella....rindu yang paling dalam dan tiada penghujungnya," katanya.
Terdahulu, misteri kehilangan Bella pada malam 14 Disember lalu akhirnya terjawab susulan penemuan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada pagi Jumaat, 19 Disember tahun lalu.
Seterusnya, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan didapati sepadan dengan DNA milik ibu serta kakak Mila Sharmila yang kemudiannya membawa kepada penahanan suspek bersama dua lagi tertuduh.
Pada 28 Februari lalu, enam ketul tulang iaitu bahagian paha, tulang betis dan tulang keting ditemui di lokasi penemuan rangka Bella.
Ibu tunggal dua anak itu dipercayai dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang kini sedang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28