PONTIAN - Pengguna jalan raya yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing bermula minggu depan sempena Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan agar mendapatkan rehat secukupnya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sebanyak 80 peratus faktor nahas disebabkan kecuaian manusia.
Menurutnya, keadaan jalan raya hanya menyumbang sekitar 13 peratus kepada punca kemalangan.
"Pertambahan kenderaan menjelang Aidilfitri minggu depan boleh menyebabkan kesesakan. Oleh itu, pengguna jalan raya perlu mendapatkan rehat yang cukup dan paling penting tidak menggunakan telefon ketika memandu.
"Berdasarkan Miros, 80 peratus kemalangan faktor berlaku nahas di jalan raya disebabkan kecuaian diikuti 13 peratus infrastruktur dan keadaan jalan serta tujuh peratus aspek teknikal kenderaan motor yang digunakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas memasak bubur lambuk Madani secara rewang di Masjid Kampung Parit Mansor, Benut di sini pada Sabtu.
Kerja-kerja memasak diketuai oleh Ketua Kampung Kawasan 9, Mukim Benut, Havari @ Md Azri Sa’adon dengan dibantu oleh 60 tenaga sukarelawan termasuk pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ahmad berkata, program ini turut dijayakan oleh kariah dari Kampung Parit Jamal, Parit Mansor dan Parit Ismail.
"Sebanyak 1,440 bungkus bubur lambuk akan diedarkan di beberapa lokasi seperti bazar Ramadan Parit Betak, bazar Ramadan Sanglang, bazar Ramadan Benut selain komuniti di Pekan Benut termasuk agensi kerajaan.
"Manakala selebihnya kepada komuniti setempat di Benut,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28