Anggota Perhilitan cedera dirempuh gajah liar dibantu

Iklan
Ahmad Shahdan (kanan) bertanyakan keadaan Sa'ari ketika melawat anggota Perhilitan itu di Hospital Kemaman pada Jumaat.

KEMAMAN - Nasib menimpa anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu yang cedera dirempuh gajah liar dalam kejadian Isnin lalu mendapat perhatian Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF).

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 bagi membantu meringankan bebanan Sa’ari Hashim, 50, yang kini dirawat di Hospital Kemaman.

Iklan
Iklan

Katanya, sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim yang menziarahi Sa’ari di hospital berkenaan pada Jumaat.

"Kita harap dengan sumbangan diberikan itu ia dapat meringankan beban yang ditanggung Sa'ari sekeluarga.

Iklan

"Kita juga mendoakan agar kecederaan yang dialami pada bahagian belakang badan beliau segera sembuh,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Ahmad Shahdan (kiri) melawat Sa'ari yang kini dirawat di Hospital Kemaman.

Sa’ari mengalami kecederaan setelah dirempuh gajah liar di Hutan Felda Cerul, Cheneh di sini.

Iklan

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Unit Tangkapan Gajah (UTG) Terengganu sedang melakukan operasi pemasangan kolar gajah di lokasi berkenaan.

Program pemasangan kolar gajah merupakan kerjasama antara MPOGCF serta TDM Plantation dan Perhilitan bertujuan memantau pergerakan kawanan gajah liar sebagai kaedah amaran awal kepada ladang-ladang kelapa sawit di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, ketika bergerak pulang ke kenderaan, salah seekor gajah liar daripada kawanan gajah berkenaan tiba-tiba muncul lalu merempuh mangsa.

Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan tersebut dengan bantuan anggota penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28