SEREMBAN - Enam rumah separuh papan di Taman Limbok di sini musnah dalam kebakaran pada Sabtu.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila kesemua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.06 petang dan sampai ke lokasi enam minit kemudian.
"Enam jentera serta satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) daripada balai Seremban, Seremban 2 dan Ampangan telah dikerahkan ke lokasi bersama 25 pegawai dan anggota.
"Sebaik sampai api sedang marak, namun kita berjaya kawal kebakaran dalam tempoh 15 minit namun kerja-kerja 'overhaul' masih dilakukan bagi memastikan tiada faktor membahayakan yang lain," katanya ketika ditemui di lokasi pada Sabtu.
Ujarnya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan punca serta kos kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu seorang penduduk B Dewi, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang mandi, namun dikejutkan dengan jeritan api.
"Bila saya keluar saya tengok api dah marak dari rumah jiran dan sempat hubungi bomba.
"Kemudian saya keluar menyelamatkan diri. Sekarang saya tiada tempat tinggal kerana kesemuanya habis terbakar," katanya.
Bagaimanapun Dewi bersyukur kerana dia serta ibu bapanya sempat menyelamatkan diri.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28