SHAH ALAM - Pengarah syarikat teknologi maklumat sebelum ini mendakwa akan tampil menuntut wang berjumlah lebih RM500,000 yang ditemui dalam bagasi di tempat letak kenderaan di Damansara tidak tampil untuk melakukan tuntutan berkenaan pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit sebelum ini memaklumkan akan melakukan tuntutan wang berkenaan yang didakwa milik syarikatnya.
"Individu berkenaan kata akan tampil beri keterangan, sebelum ini dia maklumkan akan tampil, namun saya difahamkan dia tak datang.
"Kami tidak kisah jika dia hendak datang atau tidak, kita akan bagi tempoh yang mencukupi cuma dia beritahu bahawa wang itu milik syarikatnya bagaimanapun dia tak datang beri bukti yang wang berkenaan miliknya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Sabtu.
Katanya, mana-mana pihak boleh tampil dan buktikan wang berkenaan milik mereka.
"Sesiapa saja boleh tampil menuntut wang berkenaan dan buktikan kepada kami.
"Terdapat prosedur untuk pelupusan harta yang tidak dituntut antaranya mengiklankan dalam media bagi tempoh masa tertentu sebelum tindakan seterusnya dilakukan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi.
Hussein dilaporkan berkata, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28