Pihak dorong boikot KK Mart perlu bertanggungjawab redakan sentimen - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution

SHAH ALAM - Pihak yang mendorong pemboikotan kedai serbaneka KK Mart perlu mengambil tanggungjawab meredakan dan menghentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan kejadian kedua melempar bola api ke salah sebuah kedai KK Mart di Sungai Isap Kuantan, pada jam 5 pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat keseluruhannya menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri.

"Keresahan rakyat ialah apakah mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan ketika rakyat bergembira untuk menyambut Aidilfitri dengan melempar bola api ke KK Mart.

Iklan

"Polis memandang serius percubaan membakar KK Mart ini yang mana insiden pertama berlaku di KK Mart Bidor, Perak pada 26 Mac lalu. Polis juga akan mengerah seluruh kekuatan untuk mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini.

"Tindakan undang undang sudah diambil ke atas Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart dan pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd. Pembekal dan penjual sudah pun didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Saifuddin, siasatan polis mendapati lima pasang daripada 18,000 pasang stoking bertulis ALLAH, yang mana ia amat mengguris hati umat Islam.

Jelasnya, rampasan telah dibuat, jualan sudah dihentikan manakala Pengarah KK Mart juga sudahpun memohon maaf.

Namun beliau berkata, kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu.

"Terbukti kebimbangan kita dalam isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) selama ini adalah berasas dan munasabah sekalipun dipertikai oleh sesetengah pihak. Isu stoking ini menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab.

"Menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

"Perbuatan ini boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. PDRM akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai,” jelasnya.

Saifuddin turut meminta agar memberikan ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mengesan, menangkap dan menyiasat individu yang terlibat.

Ujar beliau, biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara.

"Saya yakin rakyat terbanyak adalah kalangan yang cintakan keamanan. Hidup rukun damai dan saling hormat akan perbezaan sesama kita. Mari kita bersama-sama menolak dan mengutuk keras perbuatan keganasan seumpama ini,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28