KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir perincian bagi kadar cukai jalan atau lesen kenderaan motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) dan ia dijangka diumumkan bulan depan, kata Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, antara perincian itu ialah untuk menjadikannya menarik dan lebih murah berbanding kenderaan Internal Combustion Engine (ICE).
"Komitmen kerajaan sekarang ialah untuk merendahkan cukai berkenaan supaya pembeli EV dapat kadar cukai jalan EV yang berpatutan, jadi diharapkan perincian cukai jalan EV dapat diumumkan sebelum akhir April nanti supaya kadar cukai jalan (EV) yang dibayar masih berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Warisan Tan Chong Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) dan Guangzhou Automotive Group (GAC) Motor International Co Ltd (GAC Motor International) di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, WTCA dan GAC Motor International memeterai perjanjian bagi memulakan kebolehlaksanaan dua projek pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.
WTCA diwakili Ketua Pegawai Eksekutif WTC Holdings Bhd Tan Keng Meng, manakala GAC Motor International oleh presidennya Feng Xingya.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Anthony berkata, perkongsian teknologi dan pengetahuan antara China dan Malaysia menerusi kolaborasi berkenaan mampu memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan dan memupuk inovasi dalam industri automotif, mempertingkatkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan oleh pelabur global berkualiti tinggi.
"Langkah ini menekankan kepentingan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pengembangan antarabangsa dan menyerlahkan daya tarikan negara sebagai pasaran pilihan untuk usaha niaga automotif.
"Sejajar dengan matlamat kita untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050, kita menggalakkan WTCA dan GAC Motor International untuk memperkenalkan lebih banyak produk ke Malaysia terutama EV, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pengangkutan lestari serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!