Malaysia terima 3,000 serangan siber setiap hari

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) meninjau Blok RKAT Desa dan Lapang Sasar Pulada di Ulu Tiram pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Sekurang-kurangnya 3,000 ancaman serangan siber diterima negara setiap hari.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman siber membuktikan serangan kepada negara bukan sahaja dalam bentuk fizikal pada masa kini.

Iklan
Iklan

"Jika ia (serangan) berjaya dapat godam sistem kita, mereka (penggodam) dapat masuk untuk mengintip, mendengar dan meninjau pergerakan kita, perbualan kita terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan operasi ketenteraan sebagainya.

"Serangan dan usaha ini dilakukan untuk masuk dalam sistem negara kita oleh pelbagai pihak. Siapa pihaknya, kita tak perlu beritahu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan melakukan penangkapan seorang lelaki dipercayai ejen perisikan Israel pada Rabu lalu.

Katanya, ini menunjukkan ancaman kepada negara sentiasa berlaku dan memerlukan tindakan proaktif setiap hari.

"Dalam konteks ini, atas sebab itulah kita berharap rakyat menghargai usaha pasukan keselamatan sama ada PDRM dan ATM serta lain-lain.

"Mereka sentiasa bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam menjaga sempadan, tiada kebolosan pendatang asing tanpa izin (PATI), menghalang penyeludupan selain memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terjamin secara fizikal mahupun ancaman serangan siber.

"Ini kerana penceroboh dan seumpamanya ini menggunakan teknologi canggih termasuk dron bagi membolosi negara kita dan menembusi sistem keselamatan kita," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28