KUALA LUMPUR - Tiga maut dalam dua nahas melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal di lebuh raya State Highway 8 dekat Tasik Pukaki hari ini, lapor New Zealand Herald.
Tragedi ini yang merupakan dua kemalangan serius yang berlaku dalam masa kurang dua jam di atas jalan yang sama melibatkan 20 individu dilaporkan mengejutkan masyarakat setempat dan agensi menyelamat.
Sebelum itu, satu kemalangan dekat Tasik Tekapo mengakibatkan dua penuntut Malaysia maut dan tiga lagi diterbangkan ke Hospital Christchurch untuk mendapatkan rawatan segera seperti yang disahkan Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington.
Pelajar berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan penuntut daripada University of Canterbury and Victoria University of Wellington yang merupakan antara mangsa dalam kemalangan itu, menurut laporan itu
Sementara itu, Inspektor Craig McKay, seorang pengurus operasi dan sokongan daerah polis dipetik oleh laman sesawang rasmi Polis New Zealand menggambarkan lokasi kemalangan"amat menyukarkan” dengan beberapa mangsa yang cedera perlu dikeluarkan daripada kenderaan terlibat oleh kru penyelamat.
Usaha menyelamat dalam kemalangan itu melibatkan tiga helikopter dan membawa kepada siasatan yang kompleks dan masih berjalan untuk mencari punca nahas.
"Kami meminta kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati pada hujung minggu ini. Sila ambil masa anda serta mengambil rehat secukupnya dan memandu mengikut kesesuaian keadaan. Nahas seperti ini menunjukkan bagaimana mudahnya untuk sesuatu keadaan bertukar menjadi amat buruk,” kata McKay dalam satu kenyataan.
Kemalangan ini menyebabkan penutupan lebuh raya State Highway 8 dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menjangka akan berlaku kelewatan dan lencongan, kata Waka Kotahi NZTA Canterbury & West Coast di laman X (twitter). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!