JOHOR BAHRU - Kementerian Pertahanan berharap lelaki disyaki ejen perisikan Israel yang ditahan pada Rabu lalu, perlu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tiada saki baki perisik Israel yang masuk ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu perlu memandangkan negara kini bersuara lantang dalam soal mempertahankan Gaza, Palestin yang kini diserang Israel.
"Saya harap siasatan dapat dijalankan ke atas lelaki warga Israel yang ditahan itu. Ini kerana kita tidak tahu berapa ramai ejen perisikan Israel yang mungkin masih ada.
"Saya difahamkan ada lima orang, senjata juga berjaya dirampas. Pokoknya mungkin, kehadiran perisik Israel ini kerana pendirian negara khususnya dalam mempertahankan Palestin dan menentang tindakan Israel di Gaza.
"Maknanya kita dapat kesan bukan sahaja serangan siber kerana pendirian kita tapi hari ini, kita dapat lihat ejen perisikan masuk dalam negara dengan pistol yang kita pun tak tahu apa tujuannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pada sidang akhbar
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, sebarang kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu pembolosan perisik Israel di negara ini, hanya akan dilakukan sekiranya ada permintaan daripada PDRM.
"Ada bidang kuasa masing-masing. Dalam soalan keamanan di bawah bidang kuasa PDRM. Saya percaya PDRM mampu menjalankan tanggungjawab. Bagi angkatan tentera pula, ada bidang kuasa kita.
"Kementerian Pertahanan akan meningkatkan kawalan keselamatan negara supaya terus dijaga dan dilindungi," katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat berkata, lelaki Israel berusia 36 tahun ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu.
Lelaki itu memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru.
Razarudin berkata, pihak polis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap keselamatan orang awam dan pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim; Raja dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengenai isu Palestin- Israel.