BEIJING - Seorang lelaki di negara ini memecahkan Guinness World Records (GWR) baharu apabila berjaya memuntah air keluar dari mulut secara berterusan selama 5 minit 51.88 saat, lapor Oddity Central.
Sebenarnya teknik memuntah air keluar dari mulut dalam tempoh agak lama adalah satu helah atau 'silap mata' sejak abad ke-17.
Tekniknya, seorang itu perlu meminum air dalam sejumlah yang banyak dan kemudian memuntahkannya kembali dengan menggunakan kawalan otot dalam mulut.
Bagaimanapun, ia bukan perkara yang mudah kerana teknik ini memerlukan latihan berterusan supaya kawalan air dalam mulut dapat dikeluarkan dengan seimbang untuk tempoh yang lama.
Tetapi, setakat ini tiada sesiapa pun dapat mengalahkan Ma Hui, yang baru-baru ini berjaya mencipta rekod dunia di GWR kerana memuntah air dari mulut dalam tempoh lama sehingga mencecah 6 minit.
Rekod sebelum ini dipegang Kirubel Yilma dari Ethiopia yang melakukan perkara sama selama 56.36 saat.
Bagi memastikan rekod itu disahkan GWR, individu yang berhasrat mencipta rekod ini perlu mengeluarkan air dari mulut mereka secara berterusan.
Syaratnya, apabila aliran air pecah atau berhenti, percubaan itu dianggap tamat dan pada waktu sama penjaga masa akan menghentikan jam pemasa untuk direkodkan dalam GWR.
Dalam percubaan itu, Ma Hui meminum air sebanyak 4.5 liter dan kemudian memuntahkan keluar air perlahan-lahan dengan menampakkan kawalan otot pada leher wajahnya. -Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28