IPOH - Polis Perak sedang mengesan tiga lelaki tempatan yang bertindak biadab menyebarkan iklan pinjaman along dan judi di sekitar kawasan bazar Ramadan di Stadium Perak di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan lelaki bukan Melayu itu dikesan menerusi satu video tular di media sosial pada Sabtu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan dijalankan, kumpulan itu telah menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian sejak tiga hari lalu.
Mohd Yusri berkata, rakaman video berdurasi 1.01 minit yang tular itu dibuat seorang peniaga bazar berkenaan sebelum menegur kegiatan lelaki terbabit.
Katanya, rakaman itu menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi di setiap gerai-gerai di bazar.
"Polis telah menemu bual pemilik akaun video yang dikenali dengan panggilan Oppa Zuzu Kitchen bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian berlaku.
"Butiran kejadian telah diperoleh dan polis sedang mengumpul maklumat bagi tangkapan terhadap suspek terlibat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28