Projek kereta api berkelajuan tinggi, Sabah belum terima maklumat rasmi

Iklan
Shahelmey ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim As-Sakinah, di SICC, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah belum menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai dakwaan sebuah syarikat dari Brunei yang mengumumkan pelaksanaan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo yang melibatkan Sabah.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya juga baru mengetahui perkara itu melalui berita namun belum mendapat sebarang maklumat rasmi atau terperinci mengenainya.

"Cuma untuk kereta api Trans Borneo yang dimaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan membuat kajian kebolehlaksanaan dahulu pada tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tular mengenai pemakluman bahawa syarikat tersebut melalui laman sesawangnya mengumumkan projek Trans Borneo Railway dilaksanakan dalam dua fasa yang melibatkan laluan Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dan berakhir di Kota Kinabalu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan ketika ini tumpuan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) lebih kepada kajian kebolehlaksanaan untuk mewujudkan semula laluan kereta api ke Pelabuhan Sepanggar.

"Ia baru di peringkat awal dan JKNS lebih menumpukan buat masa ini untuk melihat kebolehlaksanaan untuk mewujudkan semula laluan daripada Tanjung Aru-Sembulan ke Pelabuhan Sepanggar.

"Itu yang menjadi keutamaan kita dan seterusnya melihat secara umum konsep rangkaian perjalanan kereta api dari pantai barat kepada pantai timur," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28