KUALA LUMPUR - Kehebatan dan ketangkasan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menyediakan pelbagai juadah masakan bukan sahaja sentiasa menjadi perhatian masyarakat bahkan ramai setia menantikan kemunculan video baginda beraksi di dapur.
Dek kerana itu, tidak menghairankanlah apabila setiap kali dimuat naik di media sosial, video tersebut mendapat respons positif netizen dengan video terbaharu ialah baginda ‘menurunkan’ resipi tujuh jenis kek di Penjara Bentong, Pahang, Rabu lepas.
Disebabkan ingin merasai resipi asal biskut air tangan Tunku Azizah, ramai sanggup mendapatkan pelbagai biskut yang dijual di penjara Bentong, biarpun harganya mahal kerana menggunakan bahan premium dan berkualiti tinggi.
Malah, sejak awal Ramadan penjara ini menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat sekitar negeri Tok Gajah tetapi juga orang luar yang ingin membeli pelbagai biskut, kek coklat marble, pes asam pedas mahupun pes rendang betawi yang dihasilkan penghuni di sini bagi menyambut perayaan Aidilfitri nanti.
Boleh dikatakan tidak menang tangan penghuni penjara wanita dibuatnya bagi memenuhi permintaan, biskut mazola dan Arab antara yang paling menjadi tumpuan dan mendapat sambutan sangat tinggi ketika ini, kata Penguasa Penjara Bentong, Mohd Zulkifli Zakaria kepada Bernama.
"Biskut ini disukai oleh mereka yang gemarkan cita rasa istana. Cita rasa yang tidak 'garang' sangat. Meskipun harganya agak 'tinggi', namun mendapat sambutan pelanggan tetap untuk dijadikan cenderahati pada majlis keraian," katanya ketika ditemui semasa Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Dewan Bankuet Istana Kehakiman, Putrajaya baru-baru ini.
Penjara Bentong mula menjadi tumpuan dalam kalangan mereka yang ingin mendapatkan biskut raya selepas Tuanku Azizah berkenan berkongsi 12 resipi biskut kepada penghuni tirai besi itu sejak 2018 dan istimewanya semua biskut tersebut merupakan resipi asal diajar sendiri baginda.
Antaranya ialah biskut mazola, biskut Arab, biskut custard, biskut milo, biskut Scottish shortbread, biskut kelapa, biskut samperit, biskut Cornflakes, biskut melting moments, biskut badam, biskut chocolate crinkles dan biskut Anzac's.
"Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Seni dan Kraf Jabatan Penjara turut menurunkan ilmu masakannya dalam bidang pastri kepada sebahagian banduan wanita terpilih, berdasarkan sukatan dan acuan yang diberikan Tunku sendiri bagi mengekalkan keenakan dan keaslian biskut tersebut.
"Malah, biskut yang dihasilkan ini turut mendapat sijil halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya.
Tidak hanya biskut, Mohd Zulkifli berkata, penghuni tirai besi itu juga tidak menang tangan menyediakan pes asam pedas dan rendang betawi air tangan baginda yang mendapat permintaan tinggi kerana mudah dimasak dan menjimatkan masa yang dijual pada harga RM7 bagi pek 150 gram.
Buat masa ini, produk tersebut hanya boleh dibeli di Penjara Bentong, Galeri Jualan My Pride dan Koperasi Jabatan Penjara Malaysia, maka tidak menghairankanlah apabila penjualannya sempena Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Putrajaya baru-baru ini, begitu mendapat sambutan.
Penjawat awam, Noraini Junid berkata, dia mengambil kesempatan membeli biskut dan pes yang dihasilkan penghuni tirai besi ini kerana ingin merasai resipi asal air tangan baginda.
Rakannya pula yang hanya mahu dikenali sebagai Azwa berkata, ibunya pernah membeli produk Tuanku Azizah dan kali ini, dia ingin membelikan biskut dan pes sebagai hadiah buat ibunya serta menyifatkan harga yang dijual adalah berpatutan dengan kualiti. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28