IMPIAN menggunung penyandang juara Bundesliga, Bayern Munich untuk mempertahankan kejuaraan semakin tipis selepas tewas 0-2 kepada seteru tradisi, Borussia Dortmund dalam perlawanan di Allianz Arena.
Gol Karim Adeyemi minit ke-10 dan Julian Ryerson (m-83) menoktahkan kekalahan kelima Bayern Munich, menyaksikan jagoan Jerman itu ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Bayer Leverkusen dengan baki tujuh perlawanan.
Kehadiran Harry Kane juga tidak mengubah tempo permainan tuan rumah apabila tandukan minit ke-89 dinafikan dalam perlawanan berintensiti tinggi berkenaan.
Sementara itu, pengendali Bayern, Thomas Tuchel mengakui cabaran pemenang gelaran 11 kejuaraan Bundesliga berturut-turut sejak 2013 itu semakin menipis.
"Ya, sudah tentu dan jelas saya tidak mempunyai harapan lagi berikutan kekalahan ini. Saya juga tidak perlu memberitahu anda apa-apa lagi selepas kekalahan ini, pemburuan kejuaraan berakhir. Tahniah Leverkusen," katanya.
Tuchel yang juga kecewa dengan prestasi pasukannya menambah, permainan Bayern kali ini bukan standard yang tinggi.
"Jelas kekurangan kelajuan sepanjang perlawanan ini.
"Kami benar-benar merindui keghairahan itu. Hari ini sama sekali tidak mencukupi untuk pasukan ini," katanya.
Bayern kendalian Tuchel selepas ini akan berdepan Heidenheim di Volth Arena pada Sabtu depan sebelum berkunjung ke Stadium Emirates bagi menentang Arsenal untuk suku akhir pertama Liga Juara-Juara, 10 April.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28