KOTA BHARU - Penduduk di jajahan Pasir Mas dan Tumpat dijangka mengalami gangguan bekalan air pada Aidilfitri ini berikutan pengurangan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar disebabkan oleh paras air di muka sauk Sungai Kelar menyusut akibat kemarau.
Berdasarkan satu hantaran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Facebook pada Sabtu memaklumkan gangguan bekalan itu melibatkan 48,635 pemilik akaun.
"Antara kawasan di Pasir Mas yang terlibat ialah Meranti, Kelar, Lemal, Gual Tinggi, Lubok Jong, manakala Tumpat keseluruhan kawasan," kata kenyataan itu.
Menurut AKSB lagi, kerja-kerja penyelenggaraan dijangka selesai pada 15 April serta bergantung kepada situasi semasa paras air Sungai Kelar.
Oleh itu katanya, AKSB akan membuat penghantaran air melalui lori tangki dan tangki statik kepada pengguna yang terjejas.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pintas di talian 15777 atau WhatsApp di 019-575 5777.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28