Sindiket dadah berselindung di sebalik penyeludupan beras tumpas

Iklan
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas semasa serbuan di sebuah rumah di Kampung Jambu, Jalan Panji, Chekok, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik aktiviti penyeludupan beras selepas menahan lima individu pada Rabu.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 56 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Jambu, Jalan Panji, Chekok di sini oleh sepasukan anggota dari Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman pada jam 7.40 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan tersebut dilakukan pihaknya turut merampas dua pucuk pistol jenis Sti Champion dan Sw Mod 100-5.

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Ahad.

"Turut ditemui ialah lima butir peluru hidup bersaiz 9 milimeter dan 42 peluru 38 FMJ.

Iklan

"Pada masa sama, polis turut merampas sebanyak 17,200 biji pil kuda, lima kilogram dadah disyaki ganja, 18 liter air ketum serta dua liter ubat batuk," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, sebanyak 50 kampit beras seberat lima kilogram turut ditemukan dalam sebuah pikap jenis Toyota Hilux bersama lima telefon bimbit pelbagai jenis.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan beras yang dirampas.

Iklan

Ujarnya, kesemua rampasan terbabit bernilai RM273, 815.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sebagai penyeludup sejak lima tahun lalu dan mereka juga dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan lembu.

"Polis percaya masih ada lagi ahli kumpulan ini yang belum ditangkap," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman lima hari bermula Khamis lalu.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28