SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa pelaku yang terlibat dalam insiden kedua-dua kedai serbaneka KK Super Mart dilempar bom petrol dikenakan hukuman yang berat.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, oleh itu iasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.
Kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, pihaknya turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan melibatkan keganasan berkenaan dari hari pertama ia berlaku lagi.
"Kita mohon agar siasatan segera dapat dilakukan dan pelaku dikenakan hukuman yang berat tidak kira pelaku tersebut dari mana-mana pihak sekalipun!
Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya pihak yang mendorong boikot terhadap KK Super Mart perlu mengambil tanggungjawab meredakan dan menghentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.
Saifuddin berkata, ia susulan kejadian kedua melempar bom petrol terhadap sebuah premis KK Super Mart di Sungai Isap pada jam 5 pagi pada Sabtu.
Katanya, tindakan terbabit menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat keseluruhannya menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pihaknya kekal tenang dan akan meneruskan gesaan boikot KK Super Mart.
"Kita kekal tenang dan teruskan boikot," kata beliau lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28