KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan berhenti menuding jari kepada pihak lain berkaitan isu tunggakan gaji kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau sebaiknya segera menyelesaikan isu tunggakan berkenaan memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba.
Katanya, sikap menuding jari hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan sebagai ketua kerajaan beliau perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu itu dengan baik.
"Kerugian atau tak masa Barisan Nasional (BN), saya ingat dia (Sanusi) selesaikan dulu gaji atau apa juga elaun berkaitan staf Kedah Agro ini tambah-tambah lagi dah nak raya.
"Ambil lah tanggungjawab pergi bayar, itu adalah tanggungjawab bila jadi ketua dan dia tak payah tuding jari. Pada waktu ini kamu adalah ketua dan kamu bertanggungjawab kepada semua," katanya ketika ditemui pada program edaran 1,000 pek bubur lambuk di pekarangan Pejabat UMNO Padang Terap di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan syarikat berkenaan membayar gaji pekerja yang tertunggak sejak September 2023 kerana tidak membuat untung.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy menafikan perkara itu dan mendakwa Kedah Agro mula mencatat kerugian apabila pentadbiran negeri bertukar kepada Pas pada 2008.
Katanya, ketika itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar dan Muhammad Sanusi adalah Setiausaha Politik kepada Azizan.
Shaiful Hazizy berkata, keuntungan Kedah Agro adalah ketika pentadbiran BN antara 2005 hingga 2008 semasa Mahdzir menjadi Menteri Besar.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir turut berharap kerajaan negeri memberi perhatian untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih kepada penduduk terutama pada musim perayaan.
Katanya, beliau menerima banyak rungutan penduduk termasuk di Langkawi dan selatan Kedah apabila mereka terpaksa menunggu penghantaran bekalan air bersih selama beberapa hari.
"Oleh kerana kita tiada margin simpanan air terawat, kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) perlu ambil tanggungjawab untuk maklumkan kepada penduduk berapa lori yang ada dan bila jadual penghantaran air supaya pengguna tidak tertunggu-tunggu terutama di kawasan taman," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28