GOPENG - Sebanyak 1.06 juta rakyat di Perak telah berjaya mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat jam 12 tengah malam pada Sabtu.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, jumlah itu adalah melebihi 50 peratus daripada keseluruhan 1.8 juta penduduk negeri ini yang layak mengisi.
"Dalam sehari dua ini nampak perkembangan yang positif, walaupun tidak secara keseluruhan tetapi rakyat mulai ramai mendaftar dalam sistem PADU ini.
"Saya yakin, mana-mana individu yang keciciran dalam pendaftaran ini, kerajaan mempunyai mekanisme tertentu bagi menanganinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di Pasar Raya Mydin, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Ahad.
Dalam program itu, seramai 214 individu kalangan golongan B40 diraikan menerusi pemberian baucar RM150 setiap seorang bagi penyediaan kelengkapan Aidilfitri tahun ini.
Mohd Azlan berkata, sebelum ini pihaknya ada mengemukakan cadangan agar tempoh pendaftaran PADU dilanjutkan bagi memberi peluang kepada semua warga negara mendaftar.
Bagaimanapun katanya, lanjutan tempoh itu tidak diteruskan dan pendaftaran sistem PADU berakhir pada 31 Mac 2024.
"Kita faham, ada masa-masa telah diperuntukkan. Dalam perkara ini, mungkin kerajaan ada strategi lain yang telah disusun," katanya.
End
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28