SHAH ALAM - Pas menggesa semua pihak patuh kepada undang-undang dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci berhubung serangan terbaru bom petrol di kedai serbaneka KK Super Mart pada Sabtu.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan kerana Islam tidak membenarkan tindakan sedemikian dilakukan.
"Islam tidak membenarkan sedikit pun tindakan berbentuk keganasan dan menyeru semua pihak bertenang serta menjunjung kedaulatan undang-undang di negara ini.
Sebelum ini media melaporkan sebuah kedai serbaneka KK Mart yang baru beroperasi dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan, Pahang diserang dengan bom petrol atau ‘molotov cocktail’ menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.
Menurut Khairil Nizam, Pas sangat konsisten dengan pendekatan bersifat muwajadah silmiyyah iaitu pendekatan politik secara aman dalam berdepan apa jua isu yang berlaku dalam negara ini.
Tegasnya, parti itu juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Selain itu, Pas turut mengulangi pendirian sebelum ini bertarikh 18 Mac lalu supaya tindakan lebih tegas kepada pihak yang terlibat dalam isu penjualan stokin tertera kalimah ALLAH di KK Super Mart yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.
"Ini adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 19 Mac agar tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab menyentuh sensitiviti umat Islam ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!